Patutkah anda pasang sistem panel solar di rumah anda?

Panduan ini menggariskan segala yang perlu anda ketahui mengenai pemilihan, pembelian dan pemasangan panel solar di kediaman serta manfaatnya.


11/09/2020

Dengan norma baharu ekoran Covid-19, ramai rakyat Malaysia kini banyak menghabiskan masa di rumah. Amalan bekerja dari rumah kini menjadi kelaziman. Hasilnya, bil elektrik meningkat antara 20 ke 30 peratus. Jika anda pernah berkira-kira untuk memasang panel solar di kediaman, sekarang masa terbaik untuk melakukannya! Anda boleh menjimatkan bil elektrik di samping berpotensi memperoleh pendapatan sampingan.

Apa itu panel solar?

Panel solar biasanya diletakkan di kawasan terbuka dan cerah (biasanya di atas bumbung). Ia menggunakan sel solar photovoltaic (PV) untuk menyerap cahaya matahari yang kemudiannya ditukar kepada tenaga elektrik. Iklim Malaysia yang sentiasa panas menjadikan negara ini sesuai untuk penghasilan tenaga suria secara mampan.

Hasilnya, anda tidak lagi perlu membeli bekalan elektrik dari grid kuasa. Ini menjimatkan bil elektrik anda. Malah lebihan tenaga elektrik yang anda hasilkan boleh dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi skim Pemeteran Tenaga Bersih (“Net Energy Metering” atau NEM) seperti yang diterangkan di bawah.

Berikut adalah ilustrasi oleh TNB mengenai bagaimana panel solar berfungsi:

Source: TNB Solar
Manfaat sistem panel solar di rumah

Panel solar merupakan cara yang baik untuk menjana tenaga elektrik anda sendiri. Tenaga suria bukan sahaja menjimatkan wang tetapi turut menyumbang kepada kelestarian alam dan boleh menjana pendapatan sampingan. Berikut adalah 10 manfaat yang boleh anda peroleh dengan panel solar anda sendiri:

  • Penjimatan bil elektrik antara 54% ke 87% setiap bulan bergantung pada bil anda (menurut GSPARX, sebuah anak syarikat milik penuh TNB dan pelabur solar photovoltaic yang berdaftar di bawah Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (“Sustainable Energy Development Authority” atau SEDA Malaysia).
  • Insentif lumayan oleh kerajaan Malaysia.
  • Insentif 24% elaun cukai pelaburan MIDA bagi syarikat yang diperbadankan di Malaysia yang membuat permohonan rasmi kepada Insentif Cukai untuk Meningkatkan Pembangunan Hijau.
  • Pengecualian cukai penjualan 10% jika anda membeli peralatan solar photovoltaic buatan tempatan.
  • Kenaikan nilai hartanah.
  • Ciri sampingan yang baik bagi pengubahsuaian mesra alam rumah anda.
  • Menggunakan ruang yang banyak di atas bumbung secara produktif.
  • Membawa kesan positif kepada alam sekitar dengan mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil dan pengeluaran karbon dioksida.
  • Sumber tenaga elektrik yang mampan dan mampu bertahan sehingga 30 tahun.

Jenis sistem panel solar yang ada di pasaran

Sebelum membeli, kenali dua jenis panel solar yang terdapat di pasaran iaitu:

Sistem Solar photovoltaic (PV) Tersambung Grid

Jika bil elektrik anda sangat tinggi dan ingin mengurangkannya, anda boleh memasang panel solar jenis ini untuk menjimatkan bil elektrik anda.

Oleh kerana ia bersambung dengan grid kuasa di kawasan anda, satu-satunya kos yang anda perlukan adalah pembelian panel dan peralatan.

Sistem Solar photovoltaic (PV) Kendiri

Sistem yang lebih mahal ini berfungsi secara berasingan dari grid dan bergantung kepada bateri yang mahal. Sistem ini lebih sesuai di kawasan yang tidak mempunyai jaringan elektrik yang sempurna. Sistem ini menjimatkan kos membeli talian elektrik di samping menjana tenaga untuk keperluan rumah.

Perkara yang perlu untuk pemasangan panel solar di Malaysia

Setelah memilih jenis panel solar untuk kediaman, berikut adalah perkara lain yang anda perlukan untuk pemasangan panel solar:

  • Pilih kediaman atas tanah kerana lazimnya unit apartment tidak sesuai untuk pemasangan panel solar.
  • Mempunyai bumbung atau halaman rumah yang luas dan boleh memuatkan peralatan solar anda.
  • Mempunyai bumbung yang kukuh tanpa sebarang kebocoran atau kerosakan bagi menyokong sistem solar yang berat. Anda memerlukan ruang bumbung sebanyak 6.27 meter persegi untuk menampung kapasiti penjanaan elektrik 1 kilowatt.
  • Kawasan yang mempunyai pengudaraan yang baik untuk menyimpan bateri.
  • Perkara berkaitan teduhan kawasan panel solar bagi memanfaatkan tenaga solar dengan cekap.
  • Mematuhi undang-undang tempatan dan memenuhi keperluan pembekal tenaga elektrik anda untuk menyambung ke grid kuasa.
  • Jika anda tinggal di hartanah strata, anda perlu berurusan dengan Badan Pengurusan Bersama (“Joint Management Body” atau JMB) atau Perbadanan Pengurusan (“Management Corporation” atau MC) untuk memasang panel solar.

Cara memasang solar panel di rumah

Untuk memasang panel solar di kediaman, anda perlukan peralatan berikut:

  • Sebuah pembalik untuk menukarkan arus terus kepada arus ulang-alik bagi menjana tenaga elektrik.
  • Sebuah pengawal caj untuk mengawal atur kapasiti voltan.
  • Sebuah bateri solar untuk memanfaatkan tenaga matahari menggunakan panel solar PV.

Setelah memperoleh kesemua peralatan yang diperlukan, ikuti tiga langkah berikut:

  • Pasang lekapan untuk panel solar seperti arahan pada pakej.
  • Sambung panel solar dengan lekapan.
  • Pasang pembalik suria. Sedia untuk digunakan!

Pembekal panel solar di Malaysia

Membeli peralatan panel solar di Malaysia tidak semudah mengunjungi mana-mana kedai perkakasan. Mujurlah SEDA Malaysia menyediakan senarai pembekal sistem tenaga solar yang berdaftar dan boleh dipercayai.

Buat masa ini terdapat lebih 110 pembekal panel solar PV dan 27 pelabur sistem panel solar PV yang berdaftar dengan SEDA Malaysia. Anda boleh menghubungi kesemua syarikat ini bagi mendapatkan tawaran terbaik. Para pembekal ini turut menawarkan bantuan membuat permohonan dan pemasangan jika diperlukan.

Anda boleh membeli secara terus daripada pembekal perkhidmatan yang diiktiraf SEDA Malaysia atau beli secara dalam talian (online) di laman e-dagang seperti Lazada dan Shopee.

Kos pemasangan panel solar di rumah

Kos panel solar anda bergantung kepada kualiti peralatan dan kuasa kilowatt sistem tenaga solar anda. Kos sebuah sistem tenaga solar berpenarafan 4kWp untuk sebuah kediaman dua tingkat, termasuk khidmat pemasangan profesional, boleh mencecah antara RM50,000 ke RM60,000.

Berikut adalah cara membuat anggaran kos panel solar mengikut Solar Panel Malaysia:

Langkah 1: Periksa bil elektrik dan dapatkan purata penggunaan elektrik anda dalam jam kilowatt (kWh) setahun.

Langkah 2: Buat pemerhatian bilangan jam dalam sehari bagi cahaya matahari di kawasan anda.

Langkah 3: Tentukan peratusan tenaga elektrik solar yang diperlukan oleh isi rumah anda.

Langkah 4: Gunakan formula berikut yang digunakan di seluruh dunia untuk menganggarkan saiz panel diperlukan. Berdasarkan saiz, anda boleh mendapatkan belanja yang diperlukan dalam bentuk simpanan atau pinjaman bank.

Saiz jujukan dalam kilowatt = (purata kWh/setahun) ÷ (365 hari) ÷ (jam pancaran matahari/sehari) x (peratusan liputan) ÷ (75% constant efficiency)

Sebagai contoh, jika bil elektrik RM100 sebulan dengan purata penggunaan 1,000kWh sebulan dan anggaran 5 jam pancaran matahari dalam sehari pada liputan 75%:

Saiz jujukan dalam kilowatt = (12,000kWh/setahun) ÷ (365 hari) ÷ (5kWh/sehari) x (75%) ÷ (75%) =6.58kW

Penghitungan ini adalah untuk anggaran kos panel solar sahaja. Satu lagi kos yang perlu anda tanggung adalah pemasangan yang didorong oleh faktor seperti:

  • Purata penggunaan tenaga elektrik sebulan.
  • Amaun tenaga elektrik yang ingin anda imbangi.
  • Pancaran cahaya matahari di kawasan anda.

Seperti yang disebut di atas, kos keseluruhan boleh mencecah antara RM50,000 ke RM60,000.

Adakah insentif panel solar untuk pemilik rumah di Malaysia?

1. Pemeteran Tenaga Bersih (Net Energy Metering atau NEM)

SEDA Malaysia memperkenalkan program Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) yang membolehkan anda menjana tenaga solar di samping memperolehi pendapatan melalui tenaga elektrik yang disimpan di grid anda. Tenaga boleh diperbaharui yang dijana boleh digunakan untuk isi rumah anda dan menjimatkan bil elektrik.

Pada Januari 2019, satu konsep baharu NEM diperkenalkan. Bil bersih lama telah ditukar kepada pemeteran tenaga bersih sebenar yang membolehkan lebihan tenaga PV solar dieksport kembali ke grid tenaga secara “satu-atas-satu” yang diimbangi. Ini bermakna bahawa setiap 1kWh yang dieksport ke grid akan diimbangi dengan 1kWh yang digunakan oleh grid. Lebih banyak kapasiti (kwj) panel solar anda, semakin banyak elektrik yang boleh dijana.

Kemudian, tenaga elektrik ini juga digunakan sebagai kredit. Kredit ini boleh diimbangi daripada bil elektrik TNB anda untuk mengurangkan kos elektrik dengan ketara.

Permohonan untuk NEM adalah berdasarkan ‘tiba dahulu layan dahulu’ sehingga kuota dipenuhi. Permohonan boleh dibuat oleh pembekal perkhidmatan PV berdaftar yang dilantik oleh anda dan perlu dihantar sama ada secara biasa atau menerusi portal permohonan dalam talian SEDA. Klik di sini untuk mengetahui garis panduan terbaru permohonan NEM.

NOTA: Kuota penguntukan bagi NEM adalah 500MW sehingga tahun 2020 – Kerajaan Malaysia masih belum membuat sebarang pengumuman untuk kuota penguntunkan baru bagi tahun 2021.

2. Pemajakan Solar di bawah program Perjanjian Bekalan Bagi Tenaga Boleh Baharu (Supply Agreement for Renewable Energy atau SARE)

Pilihan ini adalah bagi yang berminat untuk bertukar ke tenaga solar tetapi kurang berkemampuan untuk melabur dalam sistem panel solar.

SARE membolehkan pelanggan membuat perjanjian atau kontrak dengan pelabur / pemilik solar photovoltaic dan Tenaga Nasional Berhad. Program ini bertujuan membolehkan lebih ramai pelanggan di Malaysia memanfaatkan sistem solar PV. Menerusi SARE, pemilik /pelabur memajak sistem solar PV kepada pelanggan manakala pembelian tenaga solar oleh pelanggan akan dikenakan caj oleh TNB. Di sini TNB memainkan peranan sebagai ejen kontrak dan pengutipan yuran perkhidmatan. Sebagai pelanggan, anda akan membayar fi pemajakan kepada pemilik menerusi TNB. Sebagai ganti, anda tidak perlu membayar kos pendahuluan pemasangan sistem solar PV.

Berikut adalah beberapa soalan lazim mengenai program SARE:

Siapakah pelabur/pemilik? Bagi TNB, GSPARX merupakan salah satu pelabur. Terdapat pelabur lain seperti bank, dana pelaburan, pihak persendirian atau pembekal sistem PV itu sendiri yang berminat untuk menjadi pelabur/pemilik.

Apakah akan berlaku kepada sistem solar photovoltaic selepas kontrak tamat? Sistem akan dipindahkan kepada anda sebagai pelanggan. Anda akan bertanggungjawab ke atas operasi dan penyelenggaraan sistem. Terdapat banyak pembekal sistem solar PV di pasaran yang boleh anda hubungi untuk membuat kontrak penyelenggaraan berasingan.

Bagaimanakah boleh saya sebagai pelanggan membuat permohonan SARE? Secara umumnya, permohonan SARE dibuat oleh pelabur/pemilik kerana mereka adalah pihak yang memerlukan bantuan TNB dalam urusan invois dan pengutipan yuran perkhidmatan, pengurusan hasil dan perkhidmatan membuat kontrak. Untuk maklumat lanjut mengenai SARE, e-mel ke This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Pilihan pembiayaan untuk sistem tenaga solar

Oleh kerana pemasangan panel solar bukanlah murah, anda mungkin memerlukan bantuan pembiayaan. Ada tiga pilihan pembiayaan:

  1. Bayar secara penuh menggunakan kad kredit, kad debit, pemindahan dana atau tunai, kemudian dapatkan semula modal dalam jangka panjang dengan menjual tenaga elektrik menerusi NEM.
  2. Buat pinjaman peribadi berkadar faedah rendah dan bahagikan kos keseluruhan kepada beberapa ansuran. Rujuk bank seperti United Overseas Bank (UOB) yang menawarkan pinjaman 36 bulan tanpa faedah di bawah inisiatif U-Solar. Bank Islam juga baru-baru ini mengumumkan pembiayaan sehingga 100% bagi pembelian pakej panel solar PV dari GSPARX dengan kadar terapung yang menarik serendah 4.67%.
  3. Anda boleh memajakkan panel solar anda menerusi perjanjian pembelian tenaga (“power purchase agreement” atau PPA) dan program pemajakan tenaga solar yang ditawarkan oleh pembekal perkhidmatan panel solar. Anda tidak perlu membayar wang pendahuluan malah dapat menikmati perkhidmatan seperti penyelenggaraan dan pembaikan, pemantauan sistem, insurans dan waranti penembusan atap dengan bayaran bulanan tetap untuk tempoh tertentu.

Apakah pulangan pelaburan (ROI) yang boleh dijangka daripada pemasangan panel solar?

Pulangan pelaburan (ROI) dalam pemasangan panel solar boleh dilihat di bil elektrik anda yang berkurangan. Tenaga yang dimanfaatkan dari panel solar anda boleh mengurangkan kos utilti dengan agak ketara.

Bolehkah pemilik rumah memasang sendiri panel solar atau adakah perlu mengupah pemasang profesional?

Anda boleh mengupah orang atau memasang sendiri. Berikut kami senaraikan kebaikan dan kekurangan cara DIY dan profesional untuk pertimbangan anda.

Cara buat solar sendiri

Kebaikan:

  • Kit panel solar rumah boleh dikatakan murah dan mudah didapati di kebanyakan laman e-dagang.
  • Memasang sistem panel solar anda sendiri boleh mejadi kemahiran yang berguna. Kebanyakan kit mengandungi buku kecil pemasangan.

Kekurangan:

  • Anda perlukan pengalaman memasang sistem elektrik secara DIY, pengetahuan asas dan peralatan memasang.
  • Panel solar yang anda beli sendiri mungkin tidak sebagus yang dipasang oleh pemasang profesional di segi kualiti dan ketahanan.
  • Anda mungkin perlu mendapatkan tandatangan juruelektrik bertauliah untuk membolehkan firma utiliti menyambungkan panel solar anda ke grid kuasa.
  • Kemungkinan tiada waranti untuk kit anda.

Upah pemasang profesional

Kebaikan:

  • Jaminan kualiti dan ketahanan sistem panel solar.
  • Pemasang akan mengendalikan semua kerja-kerja menulis seperti mendapatkan permit dan membuat permohonan.

Kekurangan:

  • Kos lebih tinggi berbanding kaedah DIY.
  • Perlu mencari dan membuat perbandingan sebut harga antara syarikat panel solar berlainan di kawasan anda.

Jika anda berkira-kira membuat pelaburan yang bukan sahaja membawa keuntungan tetapi juga mesra alam, anda sudah pun mengetahui segala yang diperlukan untuk memasang sistem panel solar anda sendiri.


Source: iProperty.com.my